Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 24 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sebahagian besar dijangkiti Covid-19 belum capai tahap imun

SHAH ALAM, 18 APRIL: Seramai 31 daripada 40 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikesan dijangkiti Covid-19 belum mencapai imuniti kelompok.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata mereka dijangkiti wabak tersebut kurang dari dua minggu selepas lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Selepas mengambil dos pertama, tubuh kita akan mula menghasilkan antibodi dan selepas dos kedua tahap antibodi tersebut akan meningkat lebih tinggi.

“Secara amnya untuk apa-apa jenis vaksin, imuniti hanya tercapai lebih kurang dua minggu selepas suntikan dos kedua,” katanya menerusi Facebook.

KKM menambah kajian keberkesanan vaksin dalam komuniti mendapati ia memberi perlindungan terhadap penyakit Covid-19 yang teruk hampir 100 peratus.

Jelasnya, perlindungan daripada dijangkiti pula antara 64 hingga 94 peratus manakala perlindungan daripada menjangkiti orang lain 54 peratus.

“Menurut laporan pusat kawalan dan pencegahan penyakit Amerika Syarikat (US CDC) pada 13 April 2021, daripada 75 juta orang yang lengkap vaksinasi di negara tersebut, lebih kurang 5,800 dijangkiti Covid-19 dengan kebanyakannya tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.

“Kesimpulannya, kita masih dijangkiti virus SARS-CoV-2 selepas mengambil vaksin tetapi tahap keterukan penyakit dapat dikurangkan dan mengelak kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) serta kematian,” katanya.

Semalam, ketua pengarah kesihatan mengesahkan 40 kakitangan kesihatan dijangkiti wabak selepas menjalani proses vaksinasi dengan menerima dua dos suntikan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai 142 kakitangan pula dijangkiti selepas dos pertama, namun mempunyai gejala kurang teruk.


Pengarang :