EXCOSELANGOR

Selangor cadang semak enakmen halal negeri

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan Negeri bercadang meminda enakmen halal untuk mengelak berlakunya pertindihan berkaitan akta tertentu serta memperkemas undang-undang sedia ada.

EXCO agama Islam dan industri halal berkata usaha itu bagi mengimbangi perkembangan industri tersebut di peringkat global yang menjadikan negara ini sebagai rujukan.

“Kita akan teliti perkara perlu ditambah baik kerana sudah tiba masanya disemak kekurangan enakmen sedia ada.

“Kesungguhan Selangor memartabatkan industri halal juga dibuktikan apabila seorang EXCO dilantik memegang portfolio ini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum bertajuk Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam dan Institut Darul Ehsan (IDE).

Program di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan disiarkan menerusi platform media sosial.

Pada 2 Januari, Mohd Zawawi berkata Jawatankuasa Industri Halal Selangor ditubuhkan untuk merancang pelan strategik ekonomi yang bakal membuka peluang pelaburan dan menjana pendapatan negeri.

Anggota jawatankuasa terdiri pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pakar universiti serta bidang berkaitan.


Pengarang :