Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 526 jangkitan baharu Covid-19, enam kes import

SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor mencatatkan 526 jangkitan baharu Covid-19 hari ini menjadikan keseluruhan 125,111 kes sepanjang penularan dikesan.

Ketua pengarah kesihatan berkata lebih separuh jangkitan iaitu 328 kes direkodkan hasil saringan kontak rapat.

“Sebanyak 54 kes dikenal pasti daripada kluster sedia ada termasuk dua dari kluster baharu, kluster Putra Tiga dan Jalan Langat Ceria.

“Enam jangkitan import turut dikesan manakala 138 lagi daripada lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Menurut beliau, dua kluster baharu dikesan membabitkan sektor pendidikan, kluster Jalan Langat Ceria dan tempat kerja, kluster Putra Tiga.

Dr Noor Hisham berkata, kluster Jalan Langat Ceria berpunca di institusi pendidikan Jalan Langat Ceria 4, Taman Langat Ceria, Hulu Langat hingga menyebabkan jangkitan sekitar Hulu Langat, Petaling, Klang, Kuala Langat, Gombak dan Sepang.

“Kes ini melibatkan pelajar. Setakat hari ini seramai 144 disaring dengan 50 daripadanya positif.

“Kluster Putra Tiga pula membabitkan daerah Sepang dan Petaling yang berpunca dari pusat pentadbiran di Presint 3, Putrajaya. Seramai 33 individu disaring dan lapan positif,” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 2,340 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, tidak banyak perubahan berbanding 2,341 kes semalam.


Pengarang :