Aksi pemain Selangor FC mengasak pasukan lawan dalam perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam pada 3 April 2021. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC kembali jumpa rentak, benam UiTM FC 2-0

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Selangor FC kembali menemui rentak kemenangan untuk menamatkan permulaan buruk dalam kempen Liga Super 2021, selepas menewaskan pasukan tercorot UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad bimbingan pengendali dari Jerman Karsten Neitzel, selepas hanya mencatat dua keputusan seri dan tewas dua kali dalam empat aksi terakhir, sekali gus mengumpul lapan mata di kedudukan ketujuh.

Dua gol skuad Gergasi Merah dijaringkan pada babak pertama perlawanan dengan pemain import dari Switzerland Oliver Buff memecah kebuntuan, menerusi rembatan deras pada minit ke-13 sebelum penjaring terbanyak Liga Super musim lepas Ifedayo Olusegun, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-40.

Pada masa sama Penang FC kekal di kedudukan keempat liga dengan berkongsi 11 mata bersama Terengganu FC di tempat ketiga ,selepas bangkit mengatasi Perak FC 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pemain pertahanan Rafael Vitor muncul wira pasukan, selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-70 selepas Anselmo Arruda Da Silva, mencetak nama sebagai penjaring pada babak pertama untuk mengikat kedudukan 1-1 dua minit sebelum rehat.

Skuad ‘The Bos Gaurus’ yang hanya mengutip satu mata dalam tiga aksi terdahulu, berjaya mendahului seawal minit ke-12 menerusi Sheriddin Boboev yang mudah menolak masuk bola ke gawang, selepas penjaga gol Samuel Jacob Somerville melakukan kesilapan ketika cuba menampan bola keluar.

Sementara itu, aksi antara Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC yang menjadi antara dua perlawanan perintis protokol pengurusan penonton, berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam pada itu, pendahulu Liga Premier Negeri Sembilan FC terus menerajui takhta liga, selain mempertahankan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan, walaupun terikat tanpa jaringan menentang Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Keputusan seri itu membolehkan Sarawak United FC mengekori rapat dan hanya dipisahkan satu mata di kedudukan kedua Liga Premier, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hasil jaringan tunggal Changhoon Lee pada minit ke-38.

Pada masa sama, satu lagi keputusan seri dicatat antara Terengganu FC II dan PDRM FC apabila perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, berakhir dengan keputusan 1-1.

-BERNAMA


Pengarang :