Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Hospital Shah Alam pada 18 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor kenal pasti 26 pusat vaksin fasa kedua

HULU KELANG, 12 APRIL: Sebanyak 26 pusat pemberian vaksin (PPV) dikenal pasti di seluruh negeri bagi fasa kedua program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi membabitkan hospital dan klinik kesihatan serta dewan komuniti diaktifkan sebaik fasa tersebut bermula.

“Setakat ini 10 (fasiliti kesihatan) daftar PPV. Suntikan vaksin tidak boleh tumpu hospital sahaja memandangkan ada pesakit biasa yang perlu dilayan, justeru kita akan buka dewan orang ramai.

“Semua pegawai daerah bertanggungjawab mengendalikan pemberian vaksin (fasa kedua) terutama aspek logistik,” katanya selepas merasmikan Perpustakaan Mini Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 semalam.

Amirudin memberi contoh Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, salah satu PVV negeri ini mampu menampung lebih 8,000 penerima vaksin sehari pada fasa kedua berbanding 1,000 orang dalam fasa pertama.

“Pusat itu komited meningkatkan jumlah penerima vaksin, malah perkara terbabit turut disentuh dalam mesyuarat bersama menteri penyelaras PICK” katanya lagi.

Program suntikan vaksin di seluruh negara bermula pada 24 Februari dengan sasaran 500,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat.

Fasa kedua imunisasi dijadual bermula April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula dijadual pada Mei hingga Februari tahun depan yang menyasar sekitar 13.7 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

 


Pengarang :