Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program jelajah dan iftar Hijrah Selangor pada 15 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor lahirkan kelompok usahawan mampu berdikari

GOMBAK, 16 APRIL: Kerajaan Negeri berada di landasan tepat melahirkan kelompok usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mampu bertahan meskipun berdepan kemelesetan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata peniaga diwujudkan menerusi program Hijrah Selangor menjadi sendi ekonomi negara khususnya Selangor untuk menampan ketidaktentuan global.

“Kita mahu lahirkan usahawan yang tidak perlukan tongkat kerajaan, contohnya bagaimana Korea Selatan mampu bertahan ketika dilanda krisis mata wang dan pendemik Pernafasan Akut Teruk (SARS) dahulu.

“Kejayaan mengharungi ketidaktentuan dunia disokong kekuatan PKS yang terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Iftar Hijrah Selangor di Banquet Hall Al-Hijrah di sini semalam.

Beliau berkata dasar merakyatkan ekonomi diperkenalkan pentadbiran terdahulu tidak lagi sesuai serta diganti dengan bantuan bersasar.

“Dahulu kita beri kepada semua rakyat tanpa selidik sama ada mereka benar-benar perlukan bantuan, ini menyebabkan orang yang tidak layak pun terima.

“Sekarang kita libat apa yang mereka mahu, justeru kita bantu golongan sasar meningkatkan perniagaan yang mereka minat usahakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin menyarankan usahawan yang berjaya berganding baju bersama Kerajaan Negeri membantu peniaga terjejas akibat Covid-19.


Pengarang :