KAJANG, 22 APRIL: Selangor akan melaksanakan saringan bersasar Covid-19 di kawasan panas dalam tempoh terdekat, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mengelak perebakan wabak menjadi lebih parah menjelang sambutan Aidilfitri atau tercetus gelombang keempat.
“Saya baru adakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, kita lahirkan kembimbangan mengenai kluster sekolah atau pusat pendidikan.

“Kita sedang kumpul data guru, pelajar dan ibu bapa terlibat, Insya-Allah sehari dua lagi dapat maklumat penuh, kemudian kita jejak mereka,” katanya selepas merasmikan Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi hari ini.
Sebelum ini, Selangor mengumumkan penutupan 19 sekolah selama tujuh hari mulai Isnin lepas bagi mengekang perebakan Covid-19.
Tindakan itu merupakan cadangan Kerajaan Selangor kepada Kementerian Pendidikan berikutan peningkatan kes melibatkan warga sekolah.