Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM377 juta mantapkan institusi Islam, ummah

SHAH ALAM, 12 APRIL: Selangor memperuntuk RM377 juta untuk memantap serta memperkasa institusi Islam dan ummah di negeri ini.

EXCO agama Islam berkata peruntukan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi pelapis yang unggul serta menolak rasuah.

“Sumbangan untuk pendidikan Islam perlu dilihat secara holistik dengan menjadikan agama sebagai teras dalam kehidupan kita.

“Selangor juga komited memperkemaskan fungsi Jabatan Agama Islam (Jais), Jabatan Mufti, Jabatan Pendakwaan Syariah dan Jabatan Kehakiman,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum bertajuk Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat anjuran Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan dan Institut Darul Ehsan (IDE).

Program di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM377 juta untuk pengurusan Jais, caruman Perkeso kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain.

Peruntukan turut meliputi pembangunan masjid, Sekolah Agama Rakyat, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta menaja yuran pengajian dan penginapan seramai 200 pelajar tahfiz untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Pengarang :