Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sasar 300,000 peniaga guna e-dompet tahun ini

SEPANG, 7 APRIL: Kerajaan Selangor menyasarkan 300,000 peniaga kecil mendaftar dan menggunakan e-dompet sehingga penghujung tahun ini.

EXCO perumahan, kesejahteraan dan hartanah berkata konsep itu diperkenal pada 2019 namun terdapat sedikit kekangan menyebabkan ia terlewat dilaksanakan.

“Sepanjang dua tahun ini kita dapati golongan peniaga kecil paling lambat untuk terlibat. Apabila kita buat kajian didapati mereka belum bersedia dan tidak faham.

Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan seorang pegawai khas akan bawa perkara ini ke bawah dan yang dapat lesen perlu melalui khusus e-dompet supaya mereka faham,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah peringkat Majis Perbandaran Sepang di Dataran BBST Walk di sini, hari ini.

Katanya, antara kesulitan dihadapi peniaga kecil menggunakan e-dompet adalah mereka berdepan kesukaran mendapatkan wang tunai segera bagi dijadikan modal untuk keesokan harinya.

“Sekarang ini kita gunakan e-dompet yang sedia ada tetapi ia diluar kawalan Kerajaan Selangor dan dijangka Kerajaan Negeri akan mengeluarkan sendiri e-dompet yang lebih mesra peniaga,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan dengan tidak membenarkan peniaga memperbaharui lesen jika gagal mendaftar e-dompet Rodziah berkata pihaknya tidak bercadang berbuat demikian.

“Kita lebih kepada advokasi terlebih dahulu, itu lebih penting… kita bimbing dulu kerana tanpa ada bimbingan ia akan lambat,” katanya.

 


Pengarang :