Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil masjid dan surau sekitar Hulu Kelang ketika program serahan sumbangan Ihya Ramadan di Masjid Al Khairiah AU3 Keramat, Gombak pada 9 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sedia kaji kadar elaun nazir masjid

GOMBAK, 9 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia mengkaji semula elaun bulanan nazir masjid seluruh Selangor selepas mendapat permintaan golongan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk penilaian bersama EXCO hal ehwal agama Islam.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri beri peruntukan besar membabitkan gaji pengurusan masjid.

“Nazir bukan pengurusan tetapi sukarela dan elaun yang dibayar tanda penghargaan Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menyerahkan sumbangan Ihya Ramadan di Masjid Selayang Baru di sini.

Beliau menambah perkara tersebut memerlukan penelitian berikutan kosnya yang tinggi, dijangka mencecah RM40 juta jika dilaksanakan.

“Kita akan bincang kerana kosnya bukan kecil, kita ada lebih 500 masjid dan nilainya lebih RM40 juta jika dilaksana secara pengurusan terus melalui Jabatan Agama Islam Selangor dan pejabat agama daerah,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM400,000 kepada masjid dan surau sekitar Gombak sempena program Ihya Ramadan tahun ini.

Amirudin berkata setiap masjid menerima dana berjumlah RM10,000 sementara RM5,000 kepada surau.


Pengarang :