SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Selangor akan menyemak semula permohonan pembangunan projek rumah kedai dan pejabat kecil rumah pejabat (Soho) di negeri ini.
EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata langkah itu perlu berikutan cukai pintu dan utiliti perumahan jenis tersebut adalah pada kadar komersial.
“Kadar ini akan membebankan pemilik rumah terbabit selain memberi kesan kewangan terhadap pengurusan badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC).
“Unit tidak terjual adalah rumah berharga antara RM400,000 hingga RM800,000,” kata Rodziah Ismail.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju standco perumahan dan kesejahteraan bandar di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Pembangunan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) Mohd Hafiz Hassan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan LPHS Normaliza Md Rayis.
Sementara itu, Rodziah berkata LPHS berjaya melaksanakan 98 peratus sasaran kerja berasaskan 15 aktiviti utama sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian itu meliputi pembinaan dan penawaran Rumah Selangorku, Skim Smart Sewa, Skim CERIA, pemantauan projek terbengkalai dan program pendigitalan.
“Pencapaian ini penting untuk memastikan LPHS beroperasi dengan cekap dan berkesan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan serta memerlukan pelaksanaan pelbagai norma baharu,” katanya.