Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 22 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tak pernah larang guna pembesar suara ketika laung azan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor tidak pernah menghalang penggunaan pembesar suara ketika melaungkan azan di surau taman perumahan dekat Graham Gradam, Bandar Puncak Alam.

Malah, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebenaran itu termasuk mengadakan kuliah subuh dan maghrib dalam kawasan rumah ibadat berkenaan.

Justeru, beliau meminta penduduk dan wakil rakyat berbincang mengenai larangan penggunaan pembesar suara ketika melaungkan azan seperti dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli semalam.

“Dalam masyarakat pelbagai kaum, hal begini boleh dibincangkan antara persatuan penduduk dan wakil rakyat sebaliknya tidak perlu dihebahkan kepada pihak luar.

“Kita bimbang mereka akan melihatnya dari sudut luar konteks dan kesannya nanti isu yang kecil akan menjadi besar,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di pusat beli belah Aeon Mall di sini hari ini.

Menurut Mohd Zawawi, setakat ini belum ada aduan rasmi diterima berhubung isu larangan menggunakan pembesar ketika melaungkan azan di surau taman perumahan berkenaan.

Mohd Shaid membangkitkan isu itu susulan mendapat aduan daripada penduduk setempat yang meminta pihak surau menunggu mesyuarat agung tahunan bagi membincangkan kebenaran azan menggunakan pembesar suara.

Beliau turut menuntut Mohd Zawawi dan EXCO Perumahan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail menyelesaikan segera isu berkenaan sebelum merebak ke kawasan lain.


Pengarang :