Selangorkini
XCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail (kanan) menyampaikan sijil kepada seorang peserta seminar pemantapan pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 1 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor teliti pendekatan bayaran kos selenggara rumah strata

SHAH ALAM,2 APRIL: Kerajaan Selangor sedang meneliti pendekatan menyeluruh bagi mengatasi masalah pembayaran kos penyelenggaraan rumah berstrata.

EXCO perumahan berkata aspek itu perlu diatasi memandangkan ia merupakan masalah utama selain melibatkan banyak pihak.

“Ada kutipan selenggara yang tak mencecah bilangan diperlukan. Contohnya bangunan itu ada 100 unit tapi hanya 40 peratus penduduk sahaja melangsaikan bayaran.

“Jadi kita akan teliti pendekatan baharu dalam menyelesaikan isu ini termasuk mengemaskan autoriti. Masalah ini memerlukan persefahaman” kata Rodziah Ismail.

Terdahulu beliau merasmikan seminar pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam.

Sementara itu, beliau berkata seramai 120 peserta terdiri dari badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) seluruh negeri menyertai program itu.

Jelasnya segala masalah berkait perumahan strata dikongsi peserta bagi mendapatkan kaedah penyelesaian sesuai.

“Sebab itu program ini perlu diadakan. Saya mendengar semua masalah dan akan turun ke kawasan kritikal untuk lihat keadaan di sana,” katanya.

 


Pengarang :