Suspek utama kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa (tengah) direman selama lima hari di Mahkamah Klang pada 18 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Seorang lagi individu direman bantu siasatan kes pukul pekerja berpuasa

KLANG, 18 APRIL: Seorang lagi individu direman bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa.

Perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek iaitu majikan yang disyaki memukul dua pengawal peribadi itu direman lima hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 298 KK (menghina Islam) dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T baju berwarna biru tiba di pekarangan mahkamah sekitar 10 pagi tadi diiringi pihak polis.

Ahli perniagaan tersebut ditahan polis pada 8.20 malam di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis lepas susulan terbabit dalam kejadian memukul pengawal peribadinya sebelum ini.

Mahkamah Majistret Klang pada Khamis, turut mengeluarkan perintah reman kepada empat individu termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan kes itu.

Tiga daripada suspek yang merupakan pekerja di sebuah syarikat milik majikan terbabit direman lima hari manakala pengawal peribadi itu direman tujuh hari bermula Khamis (15 April).

Sementara itu di Shah Alam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata suspek akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

“Saya difahamkan kita dalam proses untuk menyita harta (suspek) dan sebagainya. Setakat ini, tiada bukti suspek dan empat pekerja yang ditahan sebelum ini terlibat dalam kongsi gelap,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu dalam kes lain, Arjunaidi berkata polis sedang menyiasat kes pertengkaran di sebuah restoran makanan segera di Klang, pada kira-kira pukul 1.30 petang semalam yang tular di media sosial.

Beliau berkata kejadian berlaku berikutan akibat satu pihak (pelanggan) tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kakitangan di restoran itu sebelum ada individu lain merakam kejadian itu.

“Semasa pertengkaran itu mungkin ada keluar perkataan yang menyinggung perasaan dan tidak sepatutnya dikeluarkan,” katanya dan menambah polis telah memanggil saksi dan individu terlibat untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat yang bertujuan untuk mengaibkan kehormatan seseorang),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :