Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki bersama maskot kayu Si Balak yang ditempatkan di setiap lokasi kaunter bergerak di pasar pagi dan malam bagi menggalak orang ramai mendaftar suntikan vaksin Covid-19. Foto Wong Siew Ki
ADN SELANGOR

Si Balak tarik minat orang ramai daftar vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 5 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menampilkan maskot Si Balak bagi menarik minat orang ramai mendaftar suntikan vaksin Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata objek kayu ciptaan khas sekumpulan pelajar sekolah menengah berada di setiap lokasi kaunter bergerak yang dibuka di pasar pagi dan malam.

“Maskot ini bergerak ke seluruh kawasan pasar untuk mengajak orang ramai belum mendaftar vaksin untuk berbuat demikian.

“Memandangkan saiznya sangat besar, ia memudahkan pengunjung melihat kehadirannya,” kata Wong Siew Ki ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau memaklumkan lebih 500 individu dengan kebanyakannya warga emas mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di 10 lokasi kaunter bergerak dimulakan awal Mac.

Siew Ki menjelaskan petugas pusat khidmatnya membantu individu terbabit melalui laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/ dan aplikasi MySejahtera.

“Walaupun berdepan kekangan dalam meyakinkan masyarakat untuk mendaftar suntikan berikutan ada yang mempersoal keberkesanan vaksin tetapi kita cuba jawab dengan jujur termasuk berkongsi pengalaman saya menerima dua dos suntikan.

“Saya maklumkan tiada sebarang kesan sampingan dialami dan menyeru supaya mereka mendaftar kerana tiada pilihan lain untuk melindungi diri daripada wabak,” katanya.


Pengarang :