Rumah contoh Puteri Aira, Kota Puteri Batu Arang Kuala Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sistem papan pemuka pantau isu tanah, perumahan Selangor

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bercadang membangunkan sistem papan pemuka (dashboard) bagi memantau isu berkaitan tanah dan perumahan, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata kerjasama akan dijalin dengan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perumahan Negara dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk berkongsi data rumah kediaman, rumah kedai serta pejabat kecil rumah pejabat (Soho).

Menurutnya, sistem tersebut memudahkan pihaknya merancang pembangunan perumahan memandangkan migrasi rakyat dari negeri lain ke Selangor agak tinggi.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju standco perumahan dan kesejahteraan bandar di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 April 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail

“Kesan apabila Selangor menjadi tempat mencari rezeki ialah bekalan rumah sewa tidak mencukupi dan kemungkinan besar ada pihak yang akan mengambil kesempatan membangunkan rumah atas tanah orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju standco perumahan dan kesejahteraan bandar di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Wakil rakyat Batu Tiga menambah, tiga sistem dilaksana di bawah program pendigitalan siap sepenuhnya tahun lalu merangkumi pendaftaran permohonan hartanah, perubatan dalam talian dan penggajian.

Tambahnya, dua lagi projek digital iaitu sistem perakaunan standard bagi agensi kerajaan (SAGA) dan pemantauan projek bantuan Kerajaan Negeri pula dijangka selesai tahun ini.

 


Pengarang :