Selangorkini
AGENDA NASIONAL

SKMM kesan satu lagi iklan ajak umat Islam berjudi

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan satu lagi penyiaran iklan yang mengajak umat Islam dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular di media sosial ketika ini, yang dianggap hanya mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Sehubungan itu menurutnya SKMM sekali lagi telah menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube bagi menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.

Menurutnya terdapat pertambahan yang mendadak kepada kandungan dilaporkan kepada penyedia platform berkenaan hari ini, kerana terdapat percambahan dari semasa ke semasa berdasarkan muat naik semula oleh pengguna-pengguna media sosial, yang menyukarkan proses pembasmian penyebaran kandungan.

“Penyebaran video-video sedemikian dimuat naik di platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak dapat dikawal. Manakala kandungan yang dimuat naik tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia bukan di platform tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SKMM berkata setakat ini 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan oleh pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara, yang mana 13 peratus daripadanya telah pun diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak mereka, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.

SKMM berkata usaha membasmi kandungan ini juga bergantung kepada rakyat Malaysia amnya, sehubungan itu pengguna media sosial di negara ini diseru agar lebih bertanggungjawab dengan melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat untuk tindakan susulan mereka dan tidak menyebar kandungan berkenaan.

“Ini adalah penting kerana perbuatan menyebar kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Perlu diperingatkan bahawa penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan,” katanya.

SKMM berkata dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

Menurutnya pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti kru produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :