Selangorkini
Kakitangan perubatan menunjukkan botol vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi Covid-19 di Singapura pada 8 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

Skuad Harimau Malaya divaksin bermula Isnin depan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, boleh menarik nafas lega apabila sah akan menerima suntikan vaksin Covid-19 Isnin depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, dijangka menerima suntikan dos pertama Covid-19 di Dewan Seri Seroja di Putrajaya.

“Berkat usaha berterusan, kita dimaklumkan mereka sejumlah 78 orang pemain, jurulatih dan pegawai termasuk presiden, akan divaksinkan pada tarikh lebih awal.

“Maknanya mereka dapat selesaikan (suntikan dos kedua) sebelum mereka berangkat ke Dubai,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Sebelum itu, dikhabarkan tiada jaminan diberikan kepada skuad Harimau Malaya untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi melengkapkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan.

Skuad kebangsaan yang dijadual kembali berkumpul pada 16 Mei, dijangka berlepas ke Timur Tengah untuk menjalani kem latihan intensif, selain mengadakan beberapa aksi persahabatan di sana sebelum memulakan saingan Kumpulan G pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malaysia akan berdepan tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata pihaknya tidak menerima maklum balas negatif daripada kumpulan pertama 264 atlet, yang menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam.

– BERNAMA


Pengarang :