Orang ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Puasa mengambil kesempatan bersiar-siar dan bergambar di sekitar Putrajaya pada 24 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SOP Aidilfitri, rentas daerah diumum minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan dijangka memutuskan beberapa perkara berkaitan sambutan Hari Raya antaranya tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri dan rentas daerah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP yang bakal dikeluarkan itu berdasarkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hari ini Jawatankuasa Teknikal akan berbincang, kemudian ia akan dibentangkan dalam sidang khas MKN pada Isnin ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas ia dibentangkan (sidang khas MKN) barulah kami boleh memutuskan sebarang keputusan dan kami akan mendengar pembentangan KKM mengenai nasihat yang akan diberikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Program e-Bakat antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) bersama Mgate Emerging Technologies Sdn Bhd dan HRD Corp di Kem Kementah, di sini hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :