Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

STFC pergiat promosi saringan percuma, sasar capai 50,000 peserta

KUALA SELANGOR, 11 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) memperhebatkan promosi saringan komuniti percuma di sekitar Puncak Alam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dibuat bagi memastikan sasaran 50,000 dapat dicapai menjelang Ogos ini.

“Sebanyak 5,000 risalah telah kita edar, 20 gegantung dipasang dan tiga kali siar raya oleh Jabatan Penerangan Malaysia di sekitar perumahan di Puncak Alam dilaksana.

“Sambutan memberangsangkan dan saya difahamkan saringan di sini (Puncak Alam) lebih 100 peserta telah hadir setakat jam 2 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas membuat tinjauan di program saringan komuniti di Dewan MDKS Sinar Alam, Fasa 2, Bandar Puncak Alam, semalam.

Sementara itu, seorang peserta Che Zuraimi Che Nordin, 42, berkata beliau sanggup memandu lebih sejam ke program saringan tersebut untuk membawa anaknya yang bakal masuk latihan industri.

“Saya tahu mengenai saringan ini dua hari lepas dan sebab itu sanggup datang jauh memandangkan jika kita buat di luar kos agak tinggi berbanding ini percuma,” katanya yang tinggal di Damansara Damai.

Manakala, Tamilmani, 30, berkata itu adalah kali kedua beliau menjalani ujian saringan kerana mahu tahu keadaan kesihatannya.

“Saya harap Kerajaan Negeri meneruskan usaha ini yang mana sangat membantu terutama keluarga kategori berpendapatan rendah (B40),” katanya.


Pengarang :