AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru waspada terhadap musuh Islam, jangan permain agama

SHAH ALAM, 4 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam berwaspada terhadap musuh Islam yang menjadikan agama suci itu sebagai sasaran.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah demikian seperti yang digariskan dalam khutbah Jumaat pada 2 April lalu yang bertajuk ‘Jangan Hina Islam’.

“Sindiran dan persepsi yang jauh terpesong daripada kebenaran adalah antara bentuk penghinaan yang sering berlaku.

“Fenomena ini disokong oleh perbuatan biadap umat Islam itu sendiri yang bersikap acuh tidak acuh terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri dalam kejahilan dan ketirisan akhlak,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda turut berdukacita apabila wujud individu yang suka mempermainkan kalimah Allah termasuk keluarkan kenyataan dan pandangan bercanggah dengan akhlak serta akidah Islam.

“Ada yang sanggup melakukan senda gurau terhadap hukum Islam, mempersenda syariat dan peraturan, mempermainkan hukum untuk menghina syariat beragama,” titah Baginda.

Sultan turut menyeru pemimpin perlu sentiasa bersikap tegas sekali gus mengamalkan kepimpinan berlandaskan syariat Islam dan peruntukan perundangan negara.

“Negeri Selangor Darul Ehsan amat mengambil berat berkenaan jenayah menghina dan mempermainkan agama Islam.

“Ingatlah semua! Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di Selangor dan semua negeri lain di Malaysia. Peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya,” titah Baginda.

 


Pengarang :