Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura ketika Program Serahan Sumbangan Ihya Ramadan Kepada Masjid dan Surau DUN Gombak Setia di Masjid Al Rahimah, Greenwood, Gombak pada 9 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sumbangan Ihya Ramadan ringan beban kewangan masjid, surau

GOMBAK, 10 APRIL: Pihak masjid dan surau yang menerima sumbangan Ihya Ramadan daripada Kerajaan Negeri mengakui meringankan masalah kewangan institusi itu.

Nazir Masjid Ar-Rahimah di Greenwood berkata pihaknya menghadapi kesulitan selepas tidak dapat membuat kutipan khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nazir Masjid Al Rahimah , Abd Rahman Satam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Abdul Rahman Satam berkata sumbangan itu secara tidak langsung dapat menyemarakkan semula rumah ibadat dengan pelbagai aktiviti pada Ramadan nanti.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana menyerahkan sendiri bantuan dan diharapkan ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di masjid berkenaan di sini semalam.

Pada majlis itu Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan RM10,000 untuk masjid dan RM5,000 bagi surau di seluruh Parlimen Gombak.

Nazir Masjid Al Khairiah, Firdaus Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Nazir Masjid Al Khairiah di AU3 berkata pemberian itu secara tidak langsung membantu membaiki beberapa bahagian masjid yang mengalami kerosakan.

“Masjid ini dalam perancangan untuk membina bangunan tambahan ruang solat dengan objektif pembangunan untuk menambah baik bagi melahirkan suasana kondusif kepada jemaah.

“Kita juga merancang menyelenggara bumbung yang mengalami kebocoran. Sumbangan diberikan jelas kepekaan dan peduli rakyat yang tinggi,” kata Firdaus Ismail ketika berucap pada majlis di masjid tersebut di sini.


Pengarang :