EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tahap kesedaran rakyat guna beg sendiri ketika membeli-belah masih rendah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan Negeri akan melakukan kajian berhubung tingkah laku masyarakat terhadap penggunaan beg sendiri ketika berbelanja di pasar, pasar raya atau kedai.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya mendapati tahap kesedaran rakyat di negeri ini menggunakan beg sendiri agak rendah.

“Secara rambang, orang ramai masih sedia membayar caj 20 sen beg plastik dan seringkali tertinggal beg sendiri semasa membeli barang.

“Jadi, saya sedang berbincang dengan dua universiti tempatan untuk buat kajian mengenai tabiat pengguna mengapa mereka tidak membawa beg sendiri,” katanya.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan bakul makanan kepada Ketua kampung serta asnaf, fakir dan miskin ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program edaran beg guna semula (Bagus) dan kempen seorang sekampit beras di tapak pasar malam Kampung Jalan Kebun di sini semalam.

Dalam majlis itu, Zawawi yang juga wakil rakyat Sungai Kandis mengagihkan beras kepada asnaf termasuk beg Bagus dan bubur lambuk untuk peniaga bazar serta orang awam.

Bermula 1 Januari 2017, Selangor melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik dan sebanyak RM6 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen setakat ini.

Hasil kutipan itu digunakan untuk kempen kesedaran awam dan mendidik masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.


Pengarang :