EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman membantu mengacau bubur lambuk ketika Program Pelancaran Kawah Team Selangor (KaRaTS) di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 25 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Team Selangor agih 30,000 pek bubur lambuk

AMPANG, 26 APRIL: Sebanyak 30,000 pek bubur lambuk diagih kepada komuniti di seluruh negeri menerusi program Kawah Ramadan Team Selangor (KaRaTS) tahun ini.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata sebanyak 7,000 pek diedar sejak minggu lalu dan baki dijangka selesai seminggu sebelum Syawal.

“Sukarelawan kami akan terlibat dengan aktiviti rewang memasak bubur lambuk secara beramai-ramai dari pagi hingga petang pada hari yang sudah ditetapkan.

“Program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti berbilang kaum selain mengekalkan tradisi acara tahunan supaya terus subur dalam masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran KaRaTS yang disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini semalam.

Terdahulu, Khairuddin merasmikan pelepasan 10 peserta Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang dianggotai Helang Motor Club Team Selangor.

Seramai 100 sukarelawan terlibat pada program yang mendapat kerjasama Pejabat Dato’ Menteri Besar, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Seldec dan Asatizah Selangor (ANAS).

Sementara itu, Syahaizel berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Seldec untuk menggalakkan sukarelawan menyertai perkhidmatan e-panggilan bagi menambah pendapatan.

“Selain objektif mengumpul seberapa banyak sukarelawan di Selangor untuk bersama melakukan aktiviti kemasyarakatan, kita mahu promosikan program Kerajaan Negeri ini kepada ahli,” katanya.


Pengarang :