Orang ramai beratur untuk menjalani ujian Covid-19 ketika negara itu berusaha menangani gelombang jangkitan baharu di Bangkok, Thailand pada 16 April 2021. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Thailand catat angka korban Covid-19 harian tertinggi

BANGKOK, 25 APRIL: Thailand mencatat 2,438 kes baharu Covid-19 dengan 11 kematian, yang merupakan angka kematian harian tertinggi, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 55,460 kes dengan 140 kematian semasa pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut Thailand merekodkan kes harian Covid-19 melebihi angka 2,000 meskipun pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha bagi menangani penularan terburuk pandemik itu di negara tersebut setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,151 adalah jangkitan tempatan termasuk 282 yang dikenal pasti melalui pengesanan aktif manakala lima merupakan kes import.

Beliau berkata terdapat 24,207 orang masih dirawat di hospital termasuk 19,274 di hospital biasa dan 4,933 di hospital medan dengan 510 orang berada dalam keadaan serius manakala 142 memerlukan bantuan pernafasan.

“Gelombang ketiga telah merekodkan sejumlah 26,597 kes dengan 46 kematian sejak 1 April,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kematian baharu membabitkan mangsa berusia lingkungan 27 hingga 70 tahun termasuk seorang wanita berumur 32 tahun yang sedang hamil 25 minggu dari Bangkok.

Taweesin juga berkata Thailand akan memperlahankan pengeluaran dokumen perjalanan untuk rakyat asing yang melakukan perjalanan dari India susulan varian baharu B.1.617 yang pertama kali dikesan di negara itu (India) pada Oktober.

Bagaimanapun, beliau berkata 131 rakyat Thailand di India yang telah mendaftar untuk melakukan perjalanan ke Thailand pada Mei akan dibenar memasuki negara itu.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah mengarahkan penutupan venue awam dan premis sukan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu berkuat kuasa dari Isnin hingga 9 Mei depan.

Jurucakap BMA Pongsakorn Kwanmuang berkata sejumlah 31 venue dan perniagaan termasuk pusat spa, gimnasium, kolam renang, pusat jagaan kanak-kanak, pawagam, taman awam, zoo, muzium, perpustakaan, taman hiburan, klinik kecantikan dan padang sukan akan ditutup.

Katanya semua aktiviti sosial dan keagamaan, penerbitan filem, serta perhimpunan yang menyaksikan lebih 20 peserta turut dilarang.

Selain itu, semua institusi pendidikan dan kelab malam akan kekal ditutup sehingga bulan depan manakala penjualan alkohol di restoran turut dilarang.

Bangkok dan sekurang-kurangnya 40 wilayah di negara itu mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Sehingga kini, Thailand belum mengenakan perintah kawalan pergerakan atau perintah berkurung susulan penularan terkini di negara itu. Bagaimanapun, sesetengah gabenor wilayah menetapkan sekatan mereka sendiri.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah membenarkan gabenor wilayah mempertimbang langkah mengenakan perintah berkurung di sesetengah kawasan dan menutup premis sebagai tambahan kepada arahan penutupan oleh kerajaan.

“Jika pandemik semakin memburuk, tempoh kuarantin 14 hari bagi pesakit tidak bergejala yang dirawat di hospital mungkin dikurangkan kepada 10 hari bagi membolehkan mereka menjalani kuarantin kendiri di rumah dengan sistem pengesanan,” menurutnya dalam tulisan di laman Facebook seperti yang dipetik oleh Bangkok Post.

– BERNAMA


Pengarang :