Lelaki berusia 48 tahun yang direman tujuh hari sebelum ini, disambung reman lagi lima hari bagi membantu siasatan kes penjualan organ manusia.
AGENDANASIONAL

Tiga lelaki samun barang kemas RM40,000 di Gombak diberkas

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Isnin lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata penahanan kesemua mereka berumur lingkungan 20-an dibuat susulan laporan polis oleh mangsa lelaki berumur 52 tahun memaklumkan kejadian pecah masuk oleh dua daripada suspek yang memakai topi keledar di rumahnya.

Beliau berkata kejadian pada 3.30 petang itu difahamkan berlaku ketika isteri serta anak lelaki mangsa berada di rumah.

“Seorang daripada suspek didapati mengacukan sebilah pisau ke leher isteri mangsa selain memaksanya untuk membuka peti keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas peribadi milik keluarga terbabit antaranya empat rantai emas, tiga bentuk cincin emas, empat pasang subang emas, dua gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas serta dua loket emas selain sejumlah wang.

“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM40,000,” katanya.

Arifai berkata ketiga-tiga suspek terlibat ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Hulu Selangor dan polis turut merampas barang-barang kes dipercayai adalah milik mangsa.

Menurutnya hasil siasatan lanjut ke atas suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Arifai berkata siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas selain mengenal pasti penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes lain.

-BERNAMA


Pengarang :