Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menerima cek cura daripada Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (tiga, kiri) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan kepada Masjid daerah Kuala Langat di Masjid At- Taqwa Banting, Kuala Langat pada 27 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga tahun berturut bagi bantuan kewangan, hargai petugas masjid

KUALA LANGAT, 28 APRIL: Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada petugas masjid membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menjaga kebajikan golongan itu.

Malah, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor antara negeri terawal yang menyalur bantuan kewangan membabitkan nazir, imam, siak dan bilal.

“Insentif sempena perayaan diberikan selama tiga tahun berturut-turut untuk menghargai peranan bagi memastikan institusi masjid sentiasa terjaga.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap semua petugas masjid terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh semangat,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Kuala Langat di Masjid At-Taqwa, Banting sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor semalam.

Pada 23 April, Dato’ Menteri Besar mengumumkan BKK sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM500 kepada nazir, imam, siak dan bilal.

Kerajaan Negeri turut memperuntuk hampir RM2 juta kepada semua masjid di Selangor untuk aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk sejumlah RM377 juta bagi memartabat institusi agama meliputi pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor dan caruman Perkeso kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain.


Pengarang :