Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah di Hotel De Palma pada 9 April lalu. Foto: Padat
AGENSISELANGOR

Tujuh pemenang pertandingan rekaan bunga tanjung, tarian Poja Bugis

SHAH ALAM, 20 APRIL: Seramai tujuh pemenang diumumkan bagi Pertandingan Mereka Bentuk Motif Bunga Tanjung dan Tarian Poja Bugis Selangor yang diadakan secara dalam talian sejak Januari hingga Mac lalu.

Ketua projeknya berkata acara anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) itu disertai 30 peserta bagi kategori rekaan motif bunga tanjung, manakala 15 kumpulan tarian.

 EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap di Hotel De Palma pada 9 April lalu. Foto: Padat

“Pertandingan julung kali diadakan ini bertujuan mengangkat dan mempopularkan motif bunga tanjung kelopak sembilan sebagai bunga rasmi Selangor dan memperkenalkan budaya etnik Bugis,” kata Intan Hazna Abdullah ketika dihubungi.

Bagi kategori rekaan bunga tanjung juara dimenangi oleh Muhammad Azmi Zamah Sari dari Sijangkang yang membawa pulang RM2,000, naib juara Suzita Mohd Sawi dari Rawang (RM1,500) dan tempat ketiga Muhammad Miqdad Roslan dari Shah Alam (RM1,000).

Manakala, kategori tarian juara disandang oleh Kumpulan Anak Seni Selangor menerima RM3,000 diikuti naib juara Citra Lestari (RM2,000), tempat ketiga Akar Seni Malaysia (RM1,500) dan busana terbaik Gemalai Qarmadansa (RM1,000).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah di Hotel De Palma pada 9 April lalu.


Pengarang :