AGENDANASIONAL

Tutup jalan, lencongan di Glenmarie akibat kerja ganti saluran gas

SHAH ALAM, 26 APRIL: Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD) menjelaskan penutupan sementara jalan dan lencongan trafik di Persiaran Kerjaya, Glenmarie di Shah Alam adalah bagi membolehkan GMD menjalankan kerja penggantian saluran paip gas.

GMD menerusi kenyataan hari ini, anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Bhd itu memaklumkan kerja itu adalah untuk menggantikan bahagian saluran paip gas yang sebelum ini mengalami kerosakan akibat aktiviti pembinaan yang dilakukan oleh pihak ketiga.

“Kebocoran gas daripada saluran paip yang rosak itu sudah ditangani dan keadaan kini terkawal, pelanggan juga tidak mengalami sebarang gangguan bekalan gas.

“Saluran paip ini penting dalam menyediakan penyaluran gas asli ke pelbagai pelanggan industri, komersial dan kediaman di Selangor dan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

GMD memberitahu syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan memberikan maklumat terkini.

“Kami kesal dengan kesulitan yang timbul,” jelasnya.

-BERNAMA


Pengarang :