Paparan poster menampilkan bintang Tottenham Hotspur berserta ucapan Ramadan dalam bahasa melayu. Foto Instagram Tottenham Hotspur
AGENDASUKANKINI

Ucapan Ramadan bahasa Melayu, Spurs buat penyokong teruja

SHAH ALAM, 14 APRIL: Peminat sukan bola sepak Malaysia teruja menerima ucapan sambutan Ramadan versi bahasa Melayu oleh pasukan Tottenham Hotspur.

Sekeping gambar yang menampilkan beberapa bintang pasukan itu disiarkan di Instagram dengan ucapan ‘jaga jarak, patuhi SOP dan Ramadan tiba sekali lagi’, lapor Kosmo.

Paparan Son Heung-min, Gareth Bale, Dele Alli dan Tanguy Ndombele berserta ucapan ternyata mengejutkan pengguna media sosial terutama rakyat Malaysia.

“Marhaban ya Ramadan. Bulan suci kembali tiba. Saat tepat mensucikan diri dari segala dosa. Semoga ibadah puasa kita dilancarkan dan keberkatan Ramadhan dilimpahkan.

“Selamat menunaikan ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia,” tulis pasukan itu.

Perkongsian itu mendapat 49,001 tanda suka setakat jam 9.50 pagi dan dibanjiri ratusan komen yang kebanyakan bertanya sama ada akaun terbabit rasmi atau palsu.

Seorang pengguna Instagram, @mr1890s mengakui terkejut dengan muat naik berkenaan dan mahukan pengesahan adakah ia dicipta peminat kelab berkenaan.

“Apa? Ini adalah akaun @spursofficial yang rasmi bukan? Bukannya akaun Spurs Malaysia kan? Wow terima kasih @spursofficial,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @hzrdqn bangga dan kagum dengan muat naik tersebut selain terasa bagai mimpi membaca ucapan berkenaan.

“Gila lah, ini bukan mimpi kan? Bahasa Malaysia tu. Apapun terima kasih,” ujarnya.


Pengarang :