Peserta pertandingan ‘Ground Test The Tomanz’ di Unisel, Bestari Jaya menunjukkan kebolehan memancing dari tengah tasik dengan menaiki kayak pada 3 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORINI
BERITA UTAMASELANGOR

Unisel bina pusat ternakan ikan air tawar untuk komersial

BESTARI JAYA, 3 APRIL: Universiti Selangor (Unisel) mempunyai beberapa tasik semula jadi yang berpotensi dimajukan sebagai lokasi penternakan ikan air tawar untuk tujuan komersial.

Naib Canselor berkata pihaknya akan manfaatkan bekas lombong itu dengan menjadikan ia tempat ternakan selepas spesis asal iaitu ikan toman dipindahkan.

“Buat masa ini kita sudah menggiatkan projek penternakan ini dengan menubuhkan pusat pembiakan ikan dan antara ikan diternak ialah keli,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau berkata demikian pada program ‘Ground Test The Tomanz’ yang dirasmikan EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Redzuan berkata Unisel turut menganjurkan program memancing ikan toman yang dibuka secara percuma kepada orang awam.

Katanya, program itu bertujuan memindahkan ikan toman dari tasik sedia ada ke Tasik ‘The Tomanz’ yang akan dibuka secara rasmi pada Mei nanti.

“Program ini dijalankan sejak Mac lalu dan pada 10 dan 11 April depan ia akan dibuka sekali lagi sebelum ditutup sementara pada Ramadan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memeriahkan sukan memancing di negeri ini serta menggalakkan kumpulan belia melakukan aktiviti lebih berfaedah ketika musim pandemik,” katanya.


Pengarang :