Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Unit peronda polis dikerah pantau kenderaan meningkat di lebuh raya

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Susulan peningkatan kenderaan di jalan raya selepas semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) polis digerakkan ke semua sektor lebuh raya bagi pemantauan dan menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata selepas kerajaan membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik dan pertambahan kenderaan di semua lebuh raya serta jalan utama di seluruh negara.

“Bagaimanapun, aliran trafik dan kadar kemalangan masih lagi terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama TV baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan, menjalankan pemantuhan SOP Op Covid-19 di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta kawasan hentian sebelah di lebuh raya.

Selain itu, katanya tindakan penguatkuasaan (operasi) dibuat di peringkat kontinjen negeri dan daerah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Pada 1 April lepas, syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dibatalkan manakala operasi sektor swasta dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan atau penyelia dan bahagian operasi atau sokongan.

– BERNAMA


Pengarang :