Mesin inovasi ciptaan NGO Belanda Ocean Clean Up, Interceptor berjaya mempercepatkan kerja pembersihan Sungai Klang. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha bersih Sungai Klang sejak 2016, Landasan Lumayan ulas tajaan Coldplay

SHAH ALAM, 6 APRIL: Usaha membersihkan Sungai Klang sudah bermula beberapa tahun dahulu sebelum Coldplay menaja mesin pengutip sampah kedua Interceptor 005, kata Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

“Pembersihan Sungai Klang bermula sejak 2016 dan ditingkatkan lagi pada 2018 melalui inisiatif Gerbang Maritim Selangor yang bertujuan membersihkan air supaya dapat menggerakan ekonomi berkaitan sungai dan inisiatif ini memberi perbezaan ketara kualiti air,” kata Pengarah Urusannya Syaiful Azmen Nordin.

Tambahnya, kerjasama dengan The Ocean Cleanup menggunakan Interceptor 002 pada Oktober 2019 berjaya mengumpulkan lebih 30 tan metrik sampah dalam tempoh sebulan.

“Interceptor 002 melengkapkan tujuh perangkap sampah yang ditempatkan di sepanjang 56km sungai antara (kompleks membeli-belah) Mid Valley dan muara Pelabuhan Klang, yang berjaya memerangkap 900 tan metrik sampah sebulan, “kata Syaiful.

Namun, kedua-dua syarikat ini mengalu-alukan kerjasaama Coldplay untuk menaja Interceptor kedua bagi meningkatkan lagi kerja pembersihan sungai di negara ini.

Dalam kenyataan bersama LLSB dan The Ocean Cleanup, keputusan menempatkan jentera kedua itu masih diteliti oleh syarikat dari Belanda terbabit.

Projek Gerbang Maritim Selangor yang dikendalikan oleh LLSB, anak syarikat milik Kerajaan Negeri, dijangka dapat menjana RM1 bilion menjelang 2030.

Pada 23 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembersihan Sungai Klang sejak lima tahun lalu berjaya meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) daripada kelas empat kepada tiga.


Pengarang :