Seorang kakitangan perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin, Serdang pada 4 Mac 2021. Foto REUTERS
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Vaksin tidak batal puasa, zakat dalam talian sah

Ramadan kali ini tahun kedua umat Islam menyambut bulan mulia dalam suasana wabak Covid-19. Tidak seperti tahun lalu, umat Islam berpeluang mengerjakan ibadat termasuk solat tarawih berjemaah di masjid dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Wartawan Amin Ridzuan Ishak mewawancara penolong mufti kanan Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Abdul Wahid Ishak melalui e-mel bagi merungkai kemusykilan hukum-hakam berkaitan.

Apakah hukum membuat ujian calitan Covid-19 ketika berpuasa? Apakah puasa batal kerana perbuatan itu?

Seperti negeri lain, Selangor mengikuti resolusi Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang bersidang pada 21 April dan mengambil ketetapan ujian Covid-19 dengan mengambil sampel lendir (mukus) dalam hidung sehingga ke kawasan masopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut hingga ke kawasan oropharynk (anak tekak) tidak membatalkan puasa. Jadi, umat Islam tidak perlu risau untuk menjalani saringan kerana ia tidak menjejaskan puasa.

Apakah hukum ambil suntikan vaksin ketika puasa? Apakah pula nasihat kepada golongan antivaksin?

Mesyuarat jawatankuasa fatwa pada 9 Mac lalu memutuskan hukum suntikan vaksin pada Ramadan harus dan tidak membatalkan puasa. Ini kerana pemberian vaksin sama seperti prosedur pemberian vaksin lain dan tidak membatalkan puasa. Ia juga wajar dijadikan syarat untuk bakal jemaah haji dan umrah bagi mengekang penularan virus.

Penolong mufti kanan Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Abdul Wahid Ishak

Kita menasihati orang ramai supaya mengambil pendekatan dalam al-Quran supaya bertanya kepada orang yang tahu jika tidak mengetahui. Jadi, kita bertanya kepada orang lebih arif sebelum buat keputusan. Ia bukan isu agama tetapi hal kesihatan. Jadi, kita panggil pakar kesihatan untuk bentang mengenai vaksin. Kita berpuas hati dan setuju vaksin harus digunakan.

Tidak harus ada kegusaran dalam kalangan rakyat untuk mengambil vaksin. Ini juga berkaitan tanggungjawab menghentikan wabak. Setakat ini, tiada ubat selain amalkan SOP. Vaksin dikatakan mampu menghalang 90 peratus jangkitan walaupun ada perbahasan mengenainya.

Pandangan berhubung solat berjemaah termasuk tarawih dalam jarak 1.5 meter bagi mengawal penularan wabak sedangkan umat Islam dianjur merapatkan saf?

Pihak berkuasa agama di Selangor menetapkan jarak 1.5 meter walaupun MKI memutuskan jarak satu meter memadai. Kita ambil berjaga-jaga kerana kadar jangkitan di Selangor tinggi selain faktor kepadatan penduduk. MKI menetapkan solat berjemaah diharus berjarak bagi makmum bersebelahan.

Jika solat berjemaah masih lagi selamat daripada penularan wabak, pandangan hukum ini turut berkait dengan jarak solat saf berjemaah dilakukan imam, bilal dan siak bagi pelaksanaan solat berjemaah di masjid, surau, hospital serta tempat dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan yang menempatkan pesakit dikuarantin dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Memang ada isu dibangkitkan mengapa tidak boleh bersolat seperti sebelum ini (tiada jarak) tetapi pertimbangan pihak berkuasa untuk mengelakkan penularan kerana virus ini tidak boleh dilihat dan pembawanya turut meliputi mereka tidak bergejala. Sekiranya solat rapat mungkin berisiko berlaku penularan, jadi tidak tercapai matlamat memutuskan penularan. Langkah berjaga-jaga bukan setakat mengambil suhu jemaah, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri tetapi penjarakan fizikal.

Ada pertikai bayar zakat dalam talian, bukan kepada amil. Apakah hukumnya?

Mengikut kitab fikah mazhab Syafie, memang digalakkan membayar sendiri kerana ia dapat mengeratkan hubungan sesama Islam dan penerimanya dapat mendoakan terus penyumbangnya. Cuma zaman sekarang pelbagai isu timbul. Pertama, siapa hendak menentukan seseorang itu sebagai fakir miskin. Kita tengok zahirnya mungkin susah tetapi tidak diketahui latar belakangnya termasuk ada aset di kampung. Di negeri ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menentukan selepas membuat siasatan. Kedua, agihan perlu menyeluruh. Kita tidak mahu hanya fakir miskin tinggal berhampiran orang kaya mendapat zakat manakala selebihnya tidak dapat.

Majlis Fatwa Selangor pada 7 Jun 2007 membuat ketetapan hukum mengagih zakat secara bersendirian dan qada zakat. Pertama, ia dijalankan pemerintah atau ulil amri demi menjaga hak dan kepentingan zakat. Kedua, walau dari segi syarak, mengagih zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah sah jika diagih kepada asnaf tetapi perbuatan itu melanggar peraturan. Dalam Islam, patuh kepada pemerintah dalam perkara kebaikan adalah wajib.

Mengenai zakat dalam talian, tiada masalah berbuat demikian selagi perantaranya masih LZS. Kalau bayar terus kepada orang miskin secara dalam talian, hukumnya sah jika penerimanya fakir miskin tetapi berdosa kerana melanggar ketetapan pemerintah.

Apakah hukum bersedekah (infaq) melalui wadah digital seperti Shopee?

Kalau bersedekah tiada masalah. Biasanya hal berkaitan sunat tiada syarat ketat sangat. Malah, saya boleh katakan sumbangan dalam talian merancakkan aktiviti kebajikan dan memberi pahala kepada sesiapa sahaja di mana sahaja mereka berada. Contohnya jemaah wanita pada masa ini tidak dapat ke masjid, jadi mereka boleh beri sumbangan kepada masjid dengan memasukkannya ke akaun bank secara dalam talian.

Apakah cadangan bagi mengimarah Ramadan dalam wabak Covid-19?

Setiap aktiviti harus mengikut SOP dan norma baharu. Walaupun boleh bertarawih di masjid dan membeli juadah di bazar, golongan risiko seperti warga emas dan kanak-kanak baik elakkan ke tempat berisiko. Kalau tidak dapat ke masjid, bertarawih dan bertadarus di rumah. Jangan jadikan alasan tidak ke masjid, ibadah tidak dibuat. Gunakan Ramadan untuk mantapkan amalan wajib dan perbanyak amalan sunat. Masa dijimatkan kerana banyak program seperti majlis berbuka puasa tidak dilakukan, manfaat kepada ibadat.

 


Pengarang :