PBTSELANGOR

Video penguat kuasa MBSA diganggu kejadian lama

SHAH ALAM, 3 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menjelaskan video memaparkan penguat kuasanya diganggu orang awam yang tular di media sosial adalah video lama.

Majlis memaklumkan kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada Jun 2017 dan individu dalam video itu juga telah dibicarakan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Keputusan Majistret pada 26 Mac 2021 menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 serta penjara enam bulan kepada tertuduh,” katanya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan itu juga memohon supaya video itu tidak ditular bagi mengelak kekeliruan dan memberi gambaran kurang jelas kepada orang awam.

Berdasarkan klip video selama 1.37 minit, seorang penguat kuasa wanita yang berada di dalam van MBSA diserang sekumpulan lelaki yang dilihat tidak berpuas hati dengannya.

Malah, salah seorang daripada mereka turut menghamburkan kata-kata kesat dan mengasari penguat kuasa berkenaan.


Pengarang :