Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menabur biji benih kai lan jepun di Kebun Komuniti Taman Maya, Petaling Jaya pada 13 April 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Bandar Utama pergiat kempen daftar vaksin, kikis tanggapan negatif

PETALING JAYA, 13 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama akan mempergiat kempen pendaftaran vaksin Covid-19 bagi menangkis tanggapan negatif segelintir pihak terhadap suntikan itu.

Ahli Dewan Negerinya berkata usaha dijalankan di Pasar Malam Kampung Sungai Kayu Ara di sini pada setiap Isnin dan Khamis bermula jam 5.30 petang hingga 8.30 malam.

“Fokus kami ketika ini adalah pihak yang tidak begitu yakin dengan vaksin. Pegawai di lapangan akan menjelaskan kebaikannya sekali gus mengikis mitos berkaitan suntikan tersebut.

“Semakin cepat rakyat dapatkannya, situasi Covid-19 dalam negara mampu dipulihkan segera,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui selepas melawat kebun komuniti Kelab Rukun Tetangga SS25 di Taman Maya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kempen pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pertengahan Mac lalu turut menumpukan warga emas yang tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon bimbit dengan kira-kira 200 orang didaftarkan di pasar terbabit termasuk Balai Raya Kampung Cempaka.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemimpin akar umbi digerakkan dalam menyebarkan maklumat program tersebut bagi memastikan tiada individu tercicir.

Pada 4 April, Kerajaan Selangor melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) dengan menyasarkan warga emas dan Orang Asli yang tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon atau mempunyai capaian internet terhad.

Setakat semalam, seramai 8.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar program suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. Selangor merekod jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 2.29 juta.


Pengarang :