Edry Faizal Eddy Yusof menyediakan pek makanan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Jalil yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 23 Februari 2021. Foto Facebook Edry Faizal
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Dusun Tua bantu peniaga beralih digital

SHAH ALAM, 30 APRIL: Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof membantu peniaga untuk ‘berhijrah’ ke dunia pendigitalan, wahana baharu urusan jual beli.

Bantuan kepada usahawan dijayakan menerusi program Wira Usaha yang diperkasa tahun ini berikutan ramai peniaga terjejas. Individu hilang pekerjaan menceburi bidang perniagaan.

Edry Faizal mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan penyedia e-dagang seperti Shopee bagi mendekatkan usahawan dengan selok belok perniagaan dalam talian.

Bukan mudah mengajak peniaga mengubah tabiat, ditambah pula liputan internet terutama dari Batu 1 hingga 16 di Hulu Langat kurang memuaskan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mengadakan kerjasama dengan Yezza, wadah berasaskan komunikasi WhatsApp bagi menggamit bilangan pelanggan.

Program Wira Usaha membantu pemulihan ekonomi dan peniaga kecil sekitar kawasan Dusun Tua melalui aktiviti perniagaan dalam talian. Poster Facebook Edry Faizal

“Kita pantau perkembangan peniaga supaya mereka benar-benar dapat mengendalikan perniagaan dalam dunia pendigitalan. Inilah pilihan perlu dimanfaatkan untuk terus kekal berdaya saing,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau juga menggesa syarikat telekomunikasi memajukan capaian internet bagi membantu peniaga. Walau Dusun Tua letaknya di pinggir bandar tetapi sebahagian kawasan liputan kurang memuaskan.

Edry Faizal turut membantu golongan yang berdepan masalah lokasi niaga. Ramai membuka gerai di tepi jalan termasuk di parkir kenderaan.

Keadaan itu menimbulkan konflik dengan penduduk setempat. Sebagai wakil rakyat, beliau mewujudkan situasi menang-menang.

Justeru, Edry Faizal mencadangkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengubah suai lorong belakang untuk dijadikan tapak niaga.

“Kita boleh ubahnya menjadi tempat perniagaan. Mungkin ada peniaga tidak mahu berpindah ke tempat lain kerana lokasi sedia ada ramai pelanggan tetapi kalau dipindahkan ke lorong belakang berhampiran mungkin mereka bersetuju.

“Bukan sahaja jadi tempat berniaga tetapi mungkin tarikan baharu di Dusun Tua ini, orang ramai boleh berkunjung selepas ia dicantikkan. Ini dapat menjana lebih banyak pendapatan kepada penduduk,” katanya.

Beliau juga meneruskan program bank makanan yang diperluas kepada hidangan bermasak yang disediakan secara bergotong-royong pada hujung minggu untuk disalur kepada golongan terjejas termasuk penghuni maahad tahfiz.

Penduduk Dusun Tua bertuah kerana usaha Edry Faizal mendapat perhatian penyumbang yang menderma ayam untuk diagih. Bantuan sayur-sayuran dan ikan keli kian bertambah.

Beliau juga mahu memfokus aspek prasarana pangsapuri dan premis berstatus strata. Edry Faizal mendapati banyak badan pengurusan bersama (JMB) mengalami masalah penyelenggaraan.

“Banyak kemudahan seperti alat permainan di taman tidak dibaiki kerana JMB menghadapi masalah kekurangan dana. Mereka tidak boleh mohon bantuan pihak berkuasa tempatan kerana di luar bidang kuasanya.

“Dalam aspek ini kita bantu dengan memperbaiki kemudahan itu supaya dapat digunakan penghuninya,” katanya.

 


Pengarang :