ADN Sungai Ramal, Mazwan Johar membuat lawatan ke program Ujian Saringan Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wakil rakyat harap program saringan percuma diadakan lebih kerap

BANGI, 4 APRIL: Program Saringan Komuniti percuma perlu dilakukan secara lebih kerap di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan Covid-19 dapat dihapuskan dalam komuniti.

Wakil rakyat Sungai Ramal berkata lokasi tumpuan seperti Bangi antara yang perlu diberi perhatian disebabkan ramai individu luar datang untuk membeli belah serta menikmati makanan di restoran.

“Program ini bagus cuma ia membabitkan kos yang besar kepada Kerajaan Negeri, namun sebagai wakil rakyat saya harap ia bukan diadakan sekali sahaja tetapi dilakukan secara bersiri memandangkan kawasan ini berisiko tinggi,” kata Mazwan Johar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluangkan masa meninjau lokasi program saringan di Sekyen 7 di sini, hari ini.

Mazwan juga turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memilih lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasannya untuk program berkenaan.

Program saringan percuma Covid-19 hari ini berlangsung di dua lokasi iaitu Bangi dan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Tasik Tambahan, Ampang.

Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM6 juta bagi meneruskan saringan percuma di kawasan berkepadatan tinggi dan menyasar golongan berpendapatan rendah.

 


Pengarang :