AGENDANASIONAL

Waktu operasi kaunter LHDN ditutup awal 30 minit sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menutup operasi harian semua kaunter perkhidmatannya 30 minit lebih awal sepanjang Ramadan ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaunter perkhidmatannya di semua negeri kecuali Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Labuan akan beroperasi bermula 8 pagi hingga 4.30 petang pada Isnin hingga Jumaat.

Bagi Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan, kaunter akan beroperasi bermula 8 pagi hingga 4.30 petang pada Ahad hingga Rabu manakala pada Khamis bermula 8 pagi hingga 3 petang.

Di Sabah dan Labuan pula, pejabat LHDN akan beroperasi bermula 8 pagi hingga 4 petang.

Selain itu, waktu perkhidmatan Hasil Care Line (HCL) akan bermula pada 9 pagi hingga 4.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat.

LHDN menyaran pelanggan melakukan urusan berkaitan percukaian secara dalam talian bagi memastikan risiko penularan wabak Covid-19 dapat dikurangkan manakala bagi urusan segera dan memerlukan perkhidmatan bersemuka, pelanggan boleh hadir ke premis LHDN.

“Pelanggan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas, LHDN boleh dihubungi melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :