Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor, Zahura Zakry berucap ketika Majlis Memeterai Kerjasama Program Pendidikan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 28 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Yayasan Selangor tawar pembiayaan komputer riba untuk pelajar IPT

SHAH ALAM, 30 APRIL: Yayasan Selangor menawarkan pembiayaan pembelian komputer riba kepada pelajar tajaannya bagi pengambilan sesi akan datang.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata penajaan melalui Pakej Pembiayaan Pendidikan itu ditawarkan khusus kepada penuntut di institusi pengajian tinggi.

“Kita datangkan pakej ini selepas mengenal pasti terdapat pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) memerlukan peranti tersebut untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Sebagai contoh, pelajar diploma memohon pinjaman sebanyak RM20,000 dan harga seunit komputer riba adalah RM3,000, jadi keseluruhan pembiayaan mereka berjumlah RM23,000,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini pada Rabu.

Zahura berkata permohonan mendapatkan peranti itu adalah bergantung kepada pelajar sama ada mereka berminat atau sebaliknya tanpa sebarang paksaan.

“Ia terpulang kepada pelajar itu sendiri kerana kita bukan mahu mengambil keuntungan tetapi berniat untuk membantu mereka yang memerlukan kemudahan ini,” katanya.


Pengarang :