RENCANA WAWANCARA

10 tahun sambut Syawal di destinasi percutian

BUKAN kampung halaman yang dituju. Bukan lemang, ketupat mahupun rendang dicari. Begitulah Errah Amran sejak lebih 10 tahun lalu setiap kali fajar Aidilfitri menyinsing.

Bersama ibu dan kakak, mereka memilih lokasi menarik untuk ‘berhari raya’ meski terpaksa ‘berkelana’ berpuluh-puluh kilometer.

Menetap di Pulau Pinang, mereka bertiga lazimnya memilih Cameron Highlands, Ipoh dan Kuala Lumpur sebagai destinasi raya.

“Cameron Highlands antara destinasi percutian yang kami gemari. Walaupun banyak restoran dan tempat menarik tutup, kami makan di restoran makanan segera dan menikmati suasana dingin bersama.

“Hanya pagi raya sahaja suasana lebih sunyi, namun hari-hari seterusnya keadaan kembali sesak. Sebab itulah kami pilih pagi Aidilfitri untuk bersiar-siar,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Errah, 37, menganggap perayaan itu waktu terbaik buat mereka sekeluarga meluang masa bersama dan bergembira tanpa perlu bersesak-sesak.

“Pernah juga kami berhari raya di KLCC dan menghabiskan masa dengan ‘window shopping’. Kami juga ronda sekitar ibu kota yang sunyi kerana rata-rata penduduk balik kampung,” katanya.

Walaupun kebanyakan kedai tutup, mereka tidak berdepan masalah untuk makan, misalnya. Bahkan lebih seronok. Tenang, tidak payah berebut-rebut.

Errah mengakui ramai kalangan rakan tertanya-tanya mengapa mereka sekeluarga tidak menziarah saudara-mara pada pagi Syawal, tradisi turun-temurun pagi Aidilfitri.

“Kami sudah tidak ada datuk dan nenek. Saudara-mara pula sibuk dengan keluarga masing-masing. Sebab itu, kami tidak mahu ganggu mereka. Jadi, saya luangkan masa dengan keluarga sendiri,” katanya.

Hanya selepas percutian sehari dua itu berakhir, ketika mereka dalam perjalanan pulang singgah beraya ke rumah sanak saudara di Tapah, Perak.

“Raya ‘kan sebulan, jadi tak perlu kalut untuk melakukan aktiviti ziarah,” kata Errah, sedikit tertawa.

Lawat destinasi

Pengalaman Fauzan Azwan ‘tersangkut’ di Petaling Jaya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu mencetus idea untuk merancang percutian tahun ini.

Sememangnya guru bahasa Arab itu tidak pernah berenggang dengan keluarga setiap kali musim perayaan. Tetapi kali ini, terasa mustahil untuk balik kampung.

Beliau bercadang bersiar-siar ke destinasi menarik di Selangor. Sawah padi, pusat beli-belah, hotel dan kafe menarik, semua tersedia. Justeru, beliau dan rakan-rakan mahu melawat Pekan Sekinchan, Elmina Valley, Tamarind Square, Taman Eko Rimba Kanching dan beberapa kafe hipster.

Beliau sudah menempah hotel kontena di Sekinchan, Sabak Bernam. Namun, pelaksanaan PKP enam daerah di Selangor menyebabkannya terpaksa menukar pelan.

“Saya akan kekal di daerah Petaling, mungkin duduk di Concorde Shah Alam yang tawarkan pakej waktu raya. Lagipun dekat dengan masjid negeri. Senang untuk solat raya. Selepas mungkin ronda Kawasan sekitar PJ dan Shah Alam. Ada banyak tempat menarik di situ,” katanya.

Bagi Fauzan, asal dapat bersiar-siar sambil melaram, beliau puas hati. Namun, jauh di sudut hati, beliau berharap suasana sedemikian tidak berulang tahun depan.


Pengarang :