Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas seorang kanak-kanak pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

20 peratus kanak-kanak satu hingga sembilan tahun disyaki positif wabak

SHAH ALAM, 27 MEI: Saringan Komuniti Covid-19 mengesan antara 10 hingga 20 peratus kes disyaki positif membabitkan kanak-kanak dalam lingkungan usia satu hingga sembilan tahun.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata peratusan itu membuktikan kelompok berkenaan mudah terdedah kepada jangkitan virus.

“Kita mula lihat perubahan trend selain warga emas, kanak-kanak juga tidak terkecuali dijangkiti wabak disebabkan mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah.

“Sebelum ini kanak-kanak tidak banyak (positif Covid-19) namun kini sebaliknya,” kata Norafida Zamri pada program saringan percuma di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11 di sini.

Beliau turut menyeru ibu bapa untuk membawa anak-anak membuat ujian bagi mengetahui status kesihatan selain memudahkan tindakan susulan jika dijangkiti wabak.

“Seperti warga emas dan ibu mengandung, kita juga menyediakan laluan khas untuk kanak-kanak sebab tidak mahu mereka terdedah dengan orang ramai ketika beratur,” katanya.

Sementara itu, Norafida berkata seramai 2,233 daripada 50,898 individu yang disaring di 26 Dewan Undangan Negeri disyaki positif, majoriti tidak bergejala.

Bagaimanapun, katanya, pesakit masih perlu melakukan ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) untuk mengetahui sama ada benar-benar dijangkiti atau sebaliknya.


Pengarang :