Selangorkini
Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan poster selesai mengambil vaksin Covid-19. Foto Facebook Farah Ann Abdul Hadi
AGENDA SUKANKINI

242 atlet, pegawai selesai suntikan dos kedua vaksin

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Seramai 242 atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, telah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 hari ini di Kompleks Sukan DBKL Desa Tasik di sini.

Antara atlet yang menerima dos kedua Pfizer-BioNTech itu termasuklah juara All England Lee Zii Jia, gimnas Farah Ann Abdul Hadi, pemanah recurve Khairul Anuar Mohamad, pemain beregu campuran Goh Liu Ying dan atlet olahraga para Muhammad Ziyad Zolkefli.

Bagaimanapun, baki daripada jumlah 264 atlet dan pegawai yang menerima suntikan pertama pada 12 April lepas, seperti skuad terjun negara yang sedang beraksi di Piala Dunia Terjun di Tokyo, akan menerima dos kedua setelah pulang ke tanah air.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua atlet yang akan beraksi di Olimpik yang dijadual berlangsung bermula 23 Julai dan Paralimpik bermula 24 Ogos itu yang sudah menerima suntikan kedua, kini boleh lebih yakin untuk bertanding di luar negara.

Menurutnya tiada atlet yang akan ke Olimpik Tokyo terkecuali daripada mendapat vaksin, begitu juga pegawai-pegawai yang akan mengiringi mereka, yang didefinisikan sebagai ‘Essential and Operational Role’ oleh Jepun.

Sementara itu, beliau berkata atlet berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjalani latihan di Melbourne, akan diberikan vaksin sejurus tiba di tanah air pada awal Jun, sekiranya tidak menerima vaksin di Australia.

“Kalau mereka menerima suntikan pertama pada 1 Jun, suntikan kedua akan selesai pada 21 Jun, bererti semua atlet akan selesai divaksinkan sebelum Julai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu.

Beliau turut berharap kontinjen negara dapat membuat persiapan yang secukupnya, dan memastikan diri berada dalam keadaan mental dan fizikal yang kuat supaya dapat mempamerkan prestasi terbaik di Tokyo.

“Yang paling penting pada saya, mereka perlu menguruskan kemuncak mereka, saya tak nak kemuncak awal, tapi pada akhirnya mereka tak beraksi.

“Dan rakyat Malaysia mendambakan pingat emas pertama, bagi saya dekad ini dekad emas,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :