Anggota polis dan tentera membuat sekatan di laluan masuk ke Taman Pertama berikutan perlaksanaan PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam pada 30 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

3,900 penduduk tiga taman perumahan di Sabak Bernam terlibat PKPD

SABAK BERNAM, 30 MEI: Seramai 3,900 penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Sabak Bernam terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata PKPD yang berkuat kuasa selama dua minggu mulai hari ini membabitkan 876 rumah yang dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.

“Sehingga semalam kes positif Covid-19 adalah sebanyak 135 kes dari 2,538 saringan di ketiga-tiga taman setakat ini. Terdapat satu kematian membabitkan warga emas berusia 74 tahun yang mengalami komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

“Berdasarkan bancian Majlis Daerah Sabak Bernam majoriti penduduk adalah Melayu dan terdiri daripada golongan warga emas berusia lingkungan 56 tahun ke atas,” kata Amri Ismail pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata kawad duri sepanjang empat kilometer turut dipasang dan hanya satu laluan dijadikan pintu utama untuk kawalan keselamatan.

Menurutnya, pejabat kesihatan juga menyediakan dua pusat saringan iaitu di Surau Taman Pertama dan Padang Taman Serendah.

“Setakat ini penduduk memberi kerjasama yang baik dan kami yakin proses saringan itu akan selesai mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.


Pengarang :