Exco Kerajaan Negeri Hee Loy Sian bersama badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan bekas makanan ketika Kempen Pahlawan Bebas Plastik di Bazar Ramadan LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

5,000 bekas makanan mesra pengguna diedar di bazar Ramadan

KELANA JAYA, 3 MEI: Sebanyak 5,000 bekas makanan mesra pengguna diperbuat daripada serat tebu serta sudu dan garfu daripada kanji diedar di Bazar Ramadan Transit Aliran Ringan Kelana Jaya.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata edaran itu bertujuan mengelak penggunaan bekas makanan plastik atau polisterin yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.

“Usaha ini bagi memupuk kesedaran peniaga dan pengunjung bazar agar tidak menggunakan beg atau bekas makanan plastik. Kita harap pelanggan bazar juga boleh membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan yang dibeli,” katanya pada Program Pahlawan Bebas Plastik hari.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mendapati kesedaran rakyat terhadap bebas plastik mencapai tahap lebih 80 peratus sekali gus menunjukkan kempen berkenaan menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat.

“Selangor akan mewajibkan bebas plastik pada tahun 2025 nanti dan kita harap pada masa itu orang ramai mula tinggalkan tabiat menggunakan beg plastik dan mendidik diri membawa bekas atau beg sendiri ketika membeli-belah,” katanya.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009 dan bermula Januari 2017 kempen itu kemudiannya dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu.


Pengarang :