Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada orang ramai ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

6,976 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak pandemik landa negara

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kes baharu Covid-19 di Malaysia mencatatkan 6,976 kes hari ini, jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara lebih setahun lalu.

Angka itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemaskini akaun rasmi Twitternya hari ini.

Sebelum ini kes baharu tertinggi pernah direkodkan ialah 6,806 kes pada Khamis lalu.

Dengan perkembangan terbaru ini, kes kumulatif Covid-19 di negara ini kini 512,091.

Dalam pada itu Selangor masih merekodkan angka tertinggi sebanyak 2,235 kes diikuti Sarawak dengan 663 kes dan 626 kes di Kelantan.

Selain itu, Johor (549 kes), Kuala Lumpur (447 kes), Negeri Sembilan (434 kes), Kedah (422 kes), Pulau Pinang (372 kes), Perak (279 kes), Terengganu (266 kes), Pahang (263 kes), Melaka (209 kes) dan Sabah (136 kes)

“Putrajaya pula dengan 30 kes manakala Labuan merekodkan 37 kes dan Perlis sebanyak lapan kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes baharu melibatkan 6,971 kes penularan tempatan dan lima kes import menjadikan kes aktif kini 57,022.

Beliau berkata terdapat 49 kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya 2,248 kes.

“Jumlah individu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 681 kes dengan 361 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah 3,587 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 452,821 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata terdapat 24 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan sembilan kluster di tempat kerja, lapan kluster komuniti, enam kluster keagamaan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi menjadikan jumlah kluster aktif kini 556 kluster.

Dr Noor Hisham berkata kluster tempat kerja melibatkan Kluster Jalan Kempas Dua dan Jalan Perindustrian Lima di Johor, Kluster Jalan Bukit Puchong dan Kemuning Tujuh di Selangor, serta Kluster Persiaran Cassia Selatan Dua, Industri Bukit Minyak dan Jalan Kilang Ubi di Pulau Pinang.

Kluster lain bagi tempat kerja adalah Kluster Jalan Enam Selatan melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, serta Kluster Bandar Jalan Putra di Pahang.

Selain itu, beliau memaklumkan kluster komuniti melibatkan Kluster Simpang Juasseh (Negeri Sembilan), Jarum Laut (Johor), Bukit Temedak (Sarawak), Kampung Paroh (Terengganu), Jalan Mangga (Sabah), Kampung Jakar (Kelantan), Taman Sourabaya Indah (Sarawak) dan Kampung Panggong (Kelantan).

Kluster keagamaan pula membabitkan Kluster Permai Sejahtera (Pahang), Terendak Permai (Melaka), Dah Seri Perigi (Kedah), Taman Majupadu (Johor), Jalan Desa Satu (Selangor) dan Parit Dato Onn (Johor), manakala kluster kumpulan berisiko tinggi yang dilaporkan ialah Kluster Jalan Temiang (Negeri Sembilan)

– BERNAMA

 

 


Pengarang :