Seorang kakitangan perubatan mengisi jarum suntik dengan dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Perubatan Tokyo, Jepun pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

732,911 individu terima dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sejumlah 732,911 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, Dr Adham berkata angka itu adalah sebahagian daripada 1,192,426 individu yang menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini kepada 1,925,337 dos setakat semalam.

Dr Adham berkata lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 99,797 dos diikuti Kuala Lumpur (80,662), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Perak (60,617).

Sehingga semalam, 41.80 peratus atau 10,146,732 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,615,118 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA


Pengarang :