Selangorkini
Petugas kesihatan Klinik Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta Program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan secara percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

80 peratus ‘pembawa senyap’ Covid-19 di Selangor babit golongan muda

SHAH ALAM, 15 MEI: Golongan berusia 20 hingga 40 tahun dikesan sebagai ‘pembawa senyap’ virus Covid-19 di negeri ini kerana tidak mengalami sebarang simptom.

Pengurus Selangor Health Care (Selcare) berkata perkara itu dikenal pasti menerusi program saringan komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor bermula 8 Mei lalu, lapor Berita Harian.

“Kumpulan ini adalah golongan produktif, mereka keluar bekerja, melakukan pelbagai aktiviti tanpa menyedari sebenarnya mereka positif Covid-19 sekali gus boleh menjangkiti individu lain.

“Berdasarkan saringan bermula 8 hingga 11 Mei lalu, hampir 80 peratus individu yang positif tanpa gejala adalah daripada kumpulan usia berkenaan,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi hari ini.

Inisiatif Kerajaan Selangor bagi mengesan wabak itu disambung semula mulai Selasa ini melibatkan Dewan Serbaguna MPAJ dan Dewan Serbaguna MPAJ AU2 mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Setakat ini seramai 8,585 individu disaring di Dewan Undangan Negeri Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai dan Dusun Tua, Lembah Jaya dan Pandan Indah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 388 kes Covid-19 dikesan dengan hampir keseluruhan melibatkan pesakit tanpa gejala.


Pengarang :