SHAH ALAM, 3 MEI: Pembinaan 80,000 Rumah Selangorku Idaman dan Harapan yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun bakal menyuntik pulangan RM17 bilion kepada ekonomi negeri.
Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Soffan Affendi Aminudin berkata projek sedemikian akan melancarkan perkembangan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
“Dari sudut pembinaan, ia akan berjalan, dari sudut pekerjaan ia akan berjalan, pembiayaan berjalan dan ia akan memberi nilai tambah kepada individu yang mempunyai rumah tersebut,” katanya pada 28 April.
Beliau memaklumkan langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian ekonomi sebagai reaksi Laporan Tahunan 2020 Bank Negara Malaysia yang meramalkan ekonomi berkembang pada kadar 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.
Soffan Affendi berkata projek melibatkan 45,000 unit Rumah Idaman diselenggara MBI manakala bakinya dijayakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang membina Rumah Harapan.
Jelasnya, kedua-dua jenis pangsapuri berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu layak dimiliki isi rumah berpendapatan RM10,000 sebulan.