AGENSISELANGOR

Aidilfitri: Mais seru tingkatkan amal ibadat, patuhi SOP

SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam di negeri ini agar terus meningkatkan amal ibadat dan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sempena sambutan Aidilfitri.

Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam dimohon bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19 di samping memohon agar Allah mengangkat wabak penyakit dan hidup seperti sedia kala.

Beliau berkata kedatangan Syawal dapat memberi peluang kepada umat Islam untuk menggandakan pahala seperti memperbanyakkan amalan sedekah serta menunaikan zakat dan semua ini boleh dilaksanakan melalui platform dalam talian di laman web Mais.

“Mais mengucapkan terima kasih kepada umat Islam yang menyelesaikan kewajipan menunaikan zakat fitrah dan zakat harta serta penyumbang yang bersedekah untuk anak-anak yatim di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya berharap agar umat Islam di Selangor dapat menyambut Aidilfitri dengan kemeriahan yang sederhana dan mengambil peluang meningkatkan ketakwaan kepada Allah serta mematuhi arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA


Pengarang :